Saturday, February 6, 2010

Siapakah Mereka

Mereka ini adalah nama-nama dalam ahli sufi yang sangat terkenal dizaman mereka

1. Ibnu Abil Huwari r.t
Namanya Ahmad bin Abul Hawari, bergelar Abul Hasa, dari penduduk Damaskus. Pernah bersahabat dengan Abu Sulaiman Ad-Darani dan yang lain daripada Tok Guru, umpamanya Sufyan bin Uyainah dan lelain lagi. Dia punya seorang saudara bernama Muhammad bin Abul Huwari, sama setujuan dalam sifat zuhud dan wara', dan puteranya bernama Abdullah bin Ahmad, salah seorang zahid juga, dan ayahnya Abdul Hawari pula seorang dari para Arif Billah dan ahli wara', jadi keluarganya dari kumpulan orang-orang wara' dan zuhud. Abul Huwari wafa pada tahun 230H , moga-moga Allah merahmatinya.

2. Ka'bul Ahbar r.t
Namanya Ka'ab bin Matik, seorang tabi'in yang termasyhur dengan panggilan Ka'bul Ahbar r.a. Hidup pada zaman Nabi saw tetapi tidak bertemu dengan baginda. Dia memeluk Islam pada zaman Abu Bakar, yang lain menyaatakan pada zaman Umar r.a dan bersahabat dengan Umar dan banyak riwayatnya daripada Umar r.a. Dia juga meriwayatkan daripada lelain sahabat dan sekumpulan para tabi'in. Dia menetap di Hamsh. Abu Darda' r.a berkata, Ka'bul Ahbar mempunyai ilmu yang banyak, dan ramai yang mengatakan begitu pula, dan mempercayainya. Sebelum memeluk Islam Ka'bul Ahbar beragama Yahudi, dan menentap di Yaman. Dia meninggal dunia pada zaman pemerintahan Usman bin Affan r.a pada tahun 32H, dikuburkan di Hamsh dalam perjalanannya menuju peperangan. Moga-moga Allah merahmatinya.

3. Ubaid bin Umair
Dia adalah seorang Imam yang mulia dari golongan tabi'in, nama penuhnya Ubaid bin Umair Al-Makki, terkenal dengan teguh agamanya dan kelurusannya, Seorang ahli pidato negeri Mekah, sangat fasih dan lancar lidahnya, sering duduk dengan sahabat Nabi yang mulia, iaitu Abdullah bin Umar r.a dalam majlis taklimnya, selalu menangis kerana terpengaruh dengan bicara dan budi luhurnya. Wafat tahun 68H. Moga-moga Allah merahmatinya.

4. Ibnul Mubarak
Dia adalah Imam yang mulia, seorang Hafizh dan mujahid namanya Abdullah bin Al-Mubarak bin Wadhid Al-Hanzhali At_tamimi. Bergelar Abu Abdur Rahman, punya bayak karya
dan catitan pelayaran, menghabiskan umurnya di dalam pelayaran sebagai orang naik haji, mujahid, peniaga, pernah mengumpulkan ilmu hadis, fiqh, bahasa arab, sejarah lagi berani dan pemurah hati. Wafat pada tahun 181H di Buhait ketika baru kembali dari berperang dengan Rom. Moga-moga Allah merahmatinya.

5. Ubai in Ka'ab
Dia seorang sahabat yang mulia dari kaum Ansar suku Khazraj. Namanya Ubai bin Ka'ab bin Qais. Dia adalah seorang pendita kaum Yahudi sebelum memeluk Islam, sangat mengerti mengenai Kitab-kitab lama. Apabila memeluk Islam, dia terpilih menjadi salah seorang penulis wahyu. Turut menyaksikan perang Badar, Uhud, Khandaq dan lelain peperangan, semuanya bersama Rasulullah saw.
Pada masa hayatnya pernah memberi fatwa agama, ikut serta dengan amirul mukminin Umar bin Al-Khattab r.a dalam peperangan Al-Jabiyah dan telah ditugaskan untuk menulis perjanjian damai dengan penghuni Baitul-maqdis. Wafat di Madinah pada tahun 21H. Moga-moga Allah merahmatinya.

6. Zin-Nun r.a
Dia adalah Tsauban bin Ibrahim Al-Ikhmimi Al-Mashri, bergelar juga dengan Abul Faidh, salah seorang zahid yang terkenal. Dilahirkan di Mesir dari bangsa Nobi berasal hamba sahaya. Dia mempunyai lidah yang fasih, ahli kebjaksanaan dan berkata syair. Meninggal dunia di Jizah (Mesir) pada tahun 245H. Moga-moga Allah merahmatinya.

7. Abu Yazid Al-Bisthami
Dia itu Taifur bin Isa Al-Bisthami, bergelar Abu Yazid, seorang zahid yang terkenal, dilahirkan di Bisthamsebuah negeri di antara Khurasan dan Iraq pada tahun 188H dan wafat pada tahun 261H, rahmahullah ta'ala.

Friday, February 5, 2010

Soalan Dan Jawapan


Soalan:
Apakah erti sifat, zat, afaal dan asma' ?

Jawapan:
a. Sifat ertinya tabiatNya
b. Zat ertinya diriNya
c. Afaal ertinya perbuatanNya
d. Asma' ertinya namaNya

Soalan:
Yang manakah dinamakan asma' ?

Jawapan:
Yang dinamakan asma' itu ialah sesuatu yang menunjukkan sesuatu iaitu asma' namanya.

Soalan:
Siapakah yang memberikan nama Allah Taala itu ?

Jawapan:
Alah Taala sendiri yang memberikan namaNya, Allah, bukan makhluk yang memberi namaNya

Soalan:
Nama Allah Taala itu Qadim atau hadis ?

Jawapan:
Nama Allah Taala itu Qadim bkan hadis (baru).

Soalan:
Apakah perbezaan antara sifat dengan mausuf, antara wujud dengan maujud, antara ilah dengan ilahiyah, antara ilah dengan Allah ?

Jawapan:
a. Perbezaan antara sifat dengan mausuf ialah sifat itu kenyataan (yang menampakkan diri) mausuf.
b. Wujud menampakkan diri maujud.
c. Ilah menyatakan diri ilahiyat. Allah itu ialah ilah yang kaya daripada tiap-tiap sesuatu yang lain dan sesuatu yang lain memerlukanNya.
d. Allah pula adalah nama Tuhan yang wajibul wujud yang mempunyai dua puluh sifat yang wajib diketahui.

Soalan:
Adakah sifat itu berkongsi dengan zat ?

Jawapan:
Sifat itu tidak bercerai dengan zat dan tidak bersekutu dengan zat. Kita tidak dapat mengetahui kaifiatnya.

Soalan:
Apakah perbezaan antara zat dengan sifat ?

Jawapan:
Perbezaan antara zat dan sifat ialah zat itu diriNya dan sifat itu kelakuanNya.

Soalan:
Apakah perbezaan antara iman dan Islam ?

Jawapan:
Perbezaaan antara iman dengan Islam ialah iman itu batin dan Islam itu zahir yang tidak boleh bercerai antara kedua-duanya seperti nyawa dengan badan. Tubuh badan tidak akan hidup tanpa nyawa. Tidak sah Islam itu melainkan dengan iman. Tidak sah iman tanpa Islam kerana Islam itu adalah zahir iman. Oleh sebab itulah, tidakboleh dianggap Muslim bagi orang yang tidak Islam iaitu tidak melaksanakan perintah dan meninggalkan apa yang dilarang oleh syarak.

Soalan:
Dari mana asal amal, taat, kebaikan dan kejahatan ?

Jawapan:
a. Asal amal itu ilmu.
b. Asal taat itu, tidak menurut hawa nafsu.
c. Asal kebaikan itu, menyalahkan hawa nafsu.
d. Asal kejahatan itu, menurut hawa nafsu.

Soalan:
Yang mana satu syarat amalan yang mengesahkannya ?

Jawapan:
Syarat yang mengesahkan amalan ialah Ikhlas.

Soalan:
Ikhlas itu ada berapa macam?

Jawapan:
Ikhlas itu ada tiga macam iaitu:
a. Ikhlas orang mubtadi (permulaan), orang yang baru belajar.
b. Ikhlas orang mutawasid (pertengahan), orang yang sedang belajar.
c. Ikhlas orang muntaha (perhentian), orang yang arif.

Soalan:
Berikan perbezaan antara ketiga-tiga tersebut ?

Jawapan:
Ikhlas orang mubtadi ialah:
a. Suci daripada riya' dan suma'ah.
b. Kerana berharap agar mendapat pahala masuk syurga.
c. Kerana takut akan azab masuk neraka.

Ikhlas orang mutawasid ialah:
a. Maha suci daripada riya' dan suma'ah, hanya melakukanna semata-mata kerana Allah.
b. Hanya melaksanakannya apa yang diperintah oleh Allah dan meninggalkan apa yang dilarang.
c. Bukan kerana hendakkan pahala masuk syurga dan bukan kerana takut akan azab masuk neraka.

Ikhlas orang muntaha ialah:
a. Tidak melihat dirinya yang melakukan amalan, hanya yang dipandang ialah perbuatan dan kelakuan Allah Taala yang melakukan terhadap dirinya.

Soalan:
Apakah cara untuk melepaskan diri kita daripada syirik ?

Jawapan:
Untuk melepaskan diri kita daripada syirik, keluarlah anda daripada diri anda.



Petikan dari kitab Kasyaful Asrar

Tuesday, February 2, 2010

Petikan Dari Kitab Sairus Salikin

Bagi orang yang menjalani jalan akhirat itu disyaratkan beberapa syarat:

1. Bekal
Bekal yang perlu disediakan oleh orang yang hendak menempuh jalan ini ialah takut kepada Allah, sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

"Dan carilah olehmu bekal (yang akan dibawa keakhirat itu), maka sesungguhnya
bekal yang paling baik ialah takwa"
surah al-Baqarah, ayat 197

Adapun yang dimaksudkan dengan taqwa atau takut kepada Allah itu, ialah meninggalkan segala maksiat, baik yang zahir mahupun yang batin dan mengerjakan segala perintah Allah dengan penuh taat, baik zahir mahupun batin.


2. Senjata
Senjata
disini bermaksud memperbanyakkan zikir kepada Allah supaya segala seteru, iaitu hawa nafsu yang ammarah dan syaitan menjadi takut, sebagaimana yang diungkapkan oleh Abu Ali al-Daqqaq r.t katanya:

"Zikir itu adalah pedang bagi setiap murid (yang sedang menjalani jalan akhirat dan menyampaikan kepada Allah Taala). Dengannya (zikir) mereka boleh membunuh segala seteru mereka, dan dengannya juga mereka mampu menangkis segala sesuatu yang membinasakan yang dimaksudkan oleh mereka itu."

Selain itu, Syaikh Abd Wahab al-Sya'rani r.t mengatakan:

"Dan ketahuilah, bahawasanya sentiasa berzikir kepada Allah Taala itu mematahkan segala gangguan syaitan (yang melintas di dalam hati)."


3. Kenderaan
Adapun yang dimaksudkan dengan kenderaan disini ialah himmah (cita-cita, keinginan,
semangat) yang ditunjukkan melalui kesungguhan dalam menjalani jalan ini sepanjang usia, iaitu jangan lalai, jangan lupa, jangan segan dan jangan bosan supaya sampai kepada martabat dan makam yang tinggi, sebagaimana yang disebutkan oleh Allah Taala daam firmanNya yang bermaksud:

"Dan barangsiapa yang bersungguh-sungguh untuk (menjalani jalan) Kami, nescaya akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan (yang menyampaikan makrifat kepada) Kami."


4. Penunjuk Jalan
Penunjuk jalan disini bermaksud guru yang mursyid, yang mengetahui jalan itu, supaya dia di ikuti oleh
muridnya yang salik, dan murid tersebut menyerahkan dirinya kepada guru tersebut, tak ubahnya bagaikan mayat di hadapan orang yang memandikannya, supaya guru yang mursyid itu menyucikan murid tersebut daripada segala dosa dan najis yang bersarang didalam hatinya, yakni segala sifat tercela, supaya dia sampai kepada Allah Taala. Kerana bagi seseorang yang hendak menjalani jalan ini mestilah dengan bimbingan seorang guru, sebagaimana yang dinyatakan oleh Sayyid Ibrahim al-Dusuqi, katanya:

"Menuntut (mencari) Sheikh dalam menjalani jalan thariqat tasauf itu wajib atas setiap murid yang salik, walaupun dia seorang ulama yang besar"


5. Rakan
Adapun yang dimaksudkan dengan rakan disini ialah sekalian orang yang menjalani tarikat syaikh nya, supaya dia berhimpun dalam mengerjakan ibadah, mengerjakan ratib,zikir dan
supaya mereka bertolongan dalam melakukan kebajikan dan melakukan ibadah, sebagaimana firman Alla yang bermaksud:

" Dan bertolong-tolonganlah kamu dalam kebaikan dan taqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam melakukan dosa dan permusuhan" Al-maidah ayat 2