Tuesday, February 2, 2010

Petikan Dari Kitab Sairus Salikin

Bagi orang yang menjalani jalan akhirat itu disyaratkan beberapa syarat:

1. Bekal
Bekal yang perlu disediakan oleh orang yang hendak menempuh jalan ini ialah takut kepada Allah, sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

"Dan carilah olehmu bekal (yang akan dibawa keakhirat itu), maka sesungguhnya
bekal yang paling baik ialah takwa"
surah al-Baqarah, ayat 197

Adapun yang dimaksudkan dengan taqwa atau takut kepada Allah itu, ialah meninggalkan segala maksiat, baik yang zahir mahupun yang batin dan mengerjakan segala perintah Allah dengan penuh taat, baik zahir mahupun batin.


2. Senjata
Senjata
disini bermaksud memperbanyakkan zikir kepada Allah supaya segala seteru, iaitu hawa nafsu yang ammarah dan syaitan menjadi takut, sebagaimana yang diungkapkan oleh Abu Ali al-Daqqaq r.t katanya:

"Zikir itu adalah pedang bagi setiap murid (yang sedang menjalani jalan akhirat dan menyampaikan kepada Allah Taala). Dengannya (zikir) mereka boleh membunuh segala seteru mereka, dan dengannya juga mereka mampu menangkis segala sesuatu yang membinasakan yang dimaksudkan oleh mereka itu."

Selain itu, Syaikh Abd Wahab al-Sya'rani r.t mengatakan:

"Dan ketahuilah, bahawasanya sentiasa berzikir kepada Allah Taala itu mematahkan segala gangguan syaitan (yang melintas di dalam hati)."


3. Kenderaan
Adapun yang dimaksudkan dengan kenderaan disini ialah himmah (cita-cita, keinginan,
semangat) yang ditunjukkan melalui kesungguhan dalam menjalani jalan ini sepanjang usia, iaitu jangan lalai, jangan lupa, jangan segan dan jangan bosan supaya sampai kepada martabat dan makam yang tinggi, sebagaimana yang disebutkan oleh Allah Taala daam firmanNya yang bermaksud:

"Dan barangsiapa yang bersungguh-sungguh untuk (menjalani jalan) Kami, nescaya akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan (yang menyampaikan makrifat kepada) Kami."


4. Penunjuk Jalan
Penunjuk jalan disini bermaksud guru yang mursyid, yang mengetahui jalan itu, supaya dia di ikuti oleh
muridnya yang salik, dan murid tersebut menyerahkan dirinya kepada guru tersebut, tak ubahnya bagaikan mayat di hadapan orang yang memandikannya, supaya guru yang mursyid itu menyucikan murid tersebut daripada segala dosa dan najis yang bersarang didalam hatinya, yakni segala sifat tercela, supaya dia sampai kepada Allah Taala. Kerana bagi seseorang yang hendak menjalani jalan ini mestilah dengan bimbingan seorang guru, sebagaimana yang dinyatakan oleh Sayyid Ibrahim al-Dusuqi, katanya:

"Menuntut (mencari) Sheikh dalam menjalani jalan thariqat tasauf itu wajib atas setiap murid yang salik, walaupun dia seorang ulama yang besar"


5. Rakan
Adapun yang dimaksudkan dengan rakan disini ialah sekalian orang yang menjalani tarikat syaikh nya, supaya dia berhimpun dalam mengerjakan ibadah, mengerjakan ratib,zikir dan
supaya mereka bertolongan dalam melakukan kebajikan dan melakukan ibadah, sebagaimana firman Alla yang bermaksud:

" Dan bertolong-tolonganlah kamu dalam kebaikan dan taqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam melakukan dosa dan permusuhan" Al-maidah ayat 2