Thursday, February 24, 2011

Petikan Dari Kitab Kifayat Al-Ghulamir

Ketahui oleh mu bahawasanya sekalian mukhalaf disuruh dengan mengenal Allah dan mengerjakan sembahyang dan memberi zakat dan mengerjakan puasa dan mengerjakan haji. Bermula yang lima inilah rukun Islam seperti sabda Nabi SAW "Dirikan Islam itu atas lima rukun:

1. Mengucap dua kalimah syahadah
2. Mendirikan sembahyang lima waktu dalam sehari semalam
3. Memberi zakat jikalau sampai hartanya itu nisab dan tahunnya
4. Puasa pada bulan Ramdhan 30 hari dalam setahun
5. Mengerjakan haji ke Baitullah bagi orang yang kuasa berjalan kepadanya"
Bermula syarat sah syahadah itu 4 perkara:
1. Diketahui
2. Diikrar
3. Ditasdiqkan
4. Diamalkan
Adapun fardu syahadah itu 2 perkara:
1. Diikrarkan dengan lidah
2. Ditasdiqkan dengan hati
Adapun kesempurnaan syahadah itu 4 perkara:
1. Mengetahui
2. Diikrar
3. Tasdiq
4. Yakin
Adapun yang membatalkan syahadah itu 4 perkara:
1. Menduakan Allah
2. Syak hatinya akan Allah
3. Menyakal dirinya daripada dijadikan oleh Allah
4. Tiada diisbatkan Zat Allah.


wallahua'lam

Thursday, March 11, 2010

Perkara Itu PerkaraNya


Demikian pula diriwayatkan bahwa Allah ta'ala mewahyukan kepada salah seorang daripada NabiNya, supaya mengatakan kepada hambaKu si fulan bin fulan, bahawa dia daripada golongan ahli neraka. Apabila sampai kepadanya berita itu, dia lalu memuji Allah ta'ala, seraya berkata " Segala kepujian bagi Allah terhadap apa yang ditentukanNya, kerana perkara itu ialah perintahNya, dan hal itu adalah hukumanNya."

Maka Allah ta'ala pun berkata lagi kepada NabiNya "Sekarang datanglah sekali lagi kepada orang itu, dan beritahunya bahwa Aku telah mengampuninya, kerana dia telah meridhai ketentuanKu"

Apabila dia diberitahu lagi dengan berita yang kedua itu, dia pun menarik nafas panjang lalu tersungkur mati...




Petikan dari kitab Haalat Ahlil Haqiqah Ma'Allah

Sunday, February 28, 2010

Jenis-jenis Perjalanan Manusia


Imam al-Ghazali mengatakan, bahawa perjalanan itu ada dua, pertama perjalanan dengan anggota yang zahir, iaitu musafir dalam perjalanan darat, laut atau perjalanan dalam negeri. Manakala yang kedua ialah perjalanan dengan hati kepada mengenal sifat-sifat Allah dan perbuatanNya, iaitu perjalanan yang dilalui oleh semua ahli tarikat.

Perjalanan batin, yakni perjalanan hati adalah sebesar-besar dan sebenar-benar perjalanan kepada mengenal Allah Taala yang dituntut oleh ahli tasauf, sebagaimana yang diungkapkan oleh Imam al-Ghazali katanya,

"perjalanan yang lebih besar itu ialah perjalanan dalam menjalani ilmu syariat dan ilmu tarikat yang menghantarkan manusia kepada berbuat yang hakiki kepada Allah Taala. Akhirnya perjalanan itu akan menyampaikan manusia kepada Allah dengan makrifat yang sebenar-benarnya"

Kemudian daripada itu, ketahuilah olehmu wahai segala orang yang salik, yakni orang yang berjalan menuju Allah Taala, bahawasanya perjalanan batin itu ada tiga, iaitu:

1. Perjalanan daripada yang zahir kepada nafsu
Seperti perjalanan ilmu syariat dan mengamalkannya

2. Perjalanan nafsu kepada hati
Seperti menjalani ilmu tarikat dan mengamalkannya

3. Perjalanan dari hati kepada Allah
Seperti makrifat akan Allah dengan ilmu hakikat, iaitu yang mampu melenyapkan di dalam hatinya itu sekalian barang yang lain, selain daripada Allah, dengan mengekalkan jinaknya hati kepada Allah dan sentiasa ingat kepadaNya, serta mengekalkan zikrulah yang disertai oleh hadirnya hati dan cinta kepadaNya.


Petikan dari kitab Sairus Salikin

Monday, February 22, 2010

Rahmat Allah


Tersebut dalam kisah. Ada salah seorang lelaki fasik daripada Bani Israil. Orang kampung tidak dapat lagi membendung kefasikannya. Mereka mengadu kepada Allah, lalu Alah memberi wahyu kepada Musa as supaya mengusir pemuda itu dari kampung mereka sehingga pemuda itu pergi ke suatu tempat yang tidak ada manusia, tanaman, binatang liar ataupun burung. Disitulah dia jatuh sakit dan tidak ada pulak yang menolongnya. Dia jatuh ke tanah. Dia meletakkan kepala sambil berkata:

"Kalaulah kepalaku ini dipangku ibuku, tentu dia mengasihiku, tentu dia menangis meratapi ku. Kalaulah ayahku ada disini, pasti dia menolong dan merawatku, Kalau isteriku ada bersama, pasti dia menangisi kematianku, jika anak-anakku ada, tentulah mereka akan tersedu-sedu mengeringi jenazahku, lalu mereka akan berdoa: Ya Tuhan, ampunilah ayahku yang lemah, fasik derhaka dan terusir dari kampung ke padang yang gersang. Yang keluar dari dunia ke akhirat tanpa harapan suatu apa pun..... Ya Allah, Engkau telah memisahkan aku dari orang tuaku, anakku dan isteriku, namun janganlah Engkau pisahkan aku dari RahmatMu. Sesungguhnya Engkau telah membakar hatiku sebab berpisah dengan mereka, namun janganlah Engkau bakar hati ini dengan nerakaMu kerana kemaksiatan ku."

Kemudian Allah mengutuskan beberapa bidadari menjelma menyerupai ibu dan isterinya. Begitu ghilman (anak-anak syurga) menjelma sebagai anak-anaknya. Serta mengutuskan malaikat solah-olah bapanya. Mereka duduk di sisinya dan meratapinya. Lalu lelaki itu berkata:

"Sesungguhnya ini ibubapa, isteri dan anak-anakku telah hadir disisiku."

Maka legalah hatinya sehingga meninggal dunia. Kemudian Allah mewahyukan kepada Nabi Musa , "Pergilah ke suatu padang disana, disitu telah mati seorang wali, maka hadir dan uruslah dia."

Ketika Nabi Musa sampai ketempat itu, dilihatnya yang mati itu adalah pemuda yang telah diusirnya sambil dikelilingi para bidadari lalu baginda berkata:

"Ya Tuhanku, bukankah ini pemuda yang ku usir atas perintahMu?"

Allah berkata, " Wahai Musa, sesungguhnya Aku telah merahmati dan mengampuninya. Sebab dia meratap ditempatnya, dia tinggalkan kampung halamannya, kedua orang tuanya, bahkan anak dan isterinya. Maka Aku utus para bidadari menjelma sebagai ibu dan isterinya, malaikat sebagai bapanya. Mereka mengasihi kepedihan dan pengasinganya. Sesungguhnya jika orang menunggal di tempat yang jauh, maka ahli bumi dan ahli langit akan menangis mengasihaninya. Lalu bagaimana Aku tidak mengasihinya sedangkan Aku Maha Pengasih?"


Petikan dari kitab Mukasyafah Al Qulub

Ya Tuhan Kami! Janganlah Serahkan Kami Kepada Diri Kami!


Berkata Yahya bin Mu'az rt di dalam munajatnya:

"Ilahi! Jika aku telah mengenaliMu, maka Engkaulah yang telah memimpinku, dan jika aku memohon kepadaMu, maka Engkaulah yang telah menginginiku, dan jika aku mencintaiMu, maka Engkaulah yang telah memilihku, dan jika ku mentaatiMu, maka Engkaulah yang telah memberiku taufik, dan jika aku kembali kepadaMu, maka Engkaulah yang akan melindungiku."

Dan bahwa sesungguhnya Allah ta'ala tidak menyerahkan para Arif itu kepada diri mereka sendiri, dan tidak juga kepada ketaatan mereka, dan tidak juga kepada zikir (ingatan) mereka kepada Allah, tetapi dengan kelebihanNya dan rahmatNya. Bahkan Dia memelihara kamu di dalam benteng belas kasihanNya, dan menurunkan ke atas kamu hujan rahmatNya daripada awan gemawan kelebihanNya dan inayahNya
.

Wednesday, February 17, 2010

Soalan Dan Jawapan 2




Soalan:
Yang manakah yang dikatakan dahulu fardhu daripada fardu, fardhu dalam fardhu, fardhu diantara dua sunat, kemudian fardhu daripada fardhu?

Jawapan:
a. Dahulu fardhu daripada fardhu ialah Ilmu
b. Fardhu dalam fardhu ialah kehadiran hati kepada Allah Taala ketika dalam solat
c. Fardhu antara dua sunat ialah antara dua lubang hidung
d. Kemudian fardhu daripada fardhu ialah bercita-cita untuk melakukan lagi

Soalan:
Yang mana satukah ilmu fardhu ain yang dituntut ke atas kita?

Jawapan:
Ilmu fardhu ain ada tiga bahagian ilmu iaitu:
a. Ilmu Usuluddin
b. Ilmu Fekah
c. Ilmu tasauf

Soalan:
Dari manakah asal ilmu itu?

Jawapan:
Ilmu itu berasal daripada Al-Quran. Ilmu yang tidak berpandukan Al-Quran dan Hadis, tertolak sama sekali dan tidak boleh dipegangi.

Soalan:
Yang manakah dinamakan Agama?

Jawapan:
Yang dinamakan agama ialah iman, Islam, tauhid dan makrifat.

Soalan:
Apakah erti iman, Islam tauhid dan makrifat?

Jawapan:
a. Iman ertinya percaya kepada Allah Taala, RasulNya, MalaikatNya, Kitab, Hari kemudia dan untung baik dan jahat daripada Allah.
b. Islam ertinya menjunjung perintah Allah dan meninggalkan segala yang ditegah oleh syarak.
c. Tauhid ertinya mengesakan zat, sifat dan afaal Allah Taala.
d. Makrifat ertinya membezakan antara yang bersifat baru (muhaddas) dan bersifat Qadim.

Tuesday, February 16, 2010

Antara Redha Dan Menyerah Diri


Hai anakku! Ketahuilah bahawa sesungguhnya seorang hamba itu, apabila dia mengetahui bahawa Allah swt itu Maha Bijaksana dalam segala yang ditentukan, Maha Berkuasa, Maha Mengetahui dari hal apa yang ditetapkan dan ditadbirkan, dan bahawa sesungguhnya dia itu adalah sebagai hamba yang jahil bodoh terhadap apa yang disukai dan apa yang dibenci, nescaya dia redha kepada Allah dalam hal kebijaksanaanNya dan ketentuanNya.

Redha itu adalah bertenangnya hati kepada Tuhan Maha Bijaksana, dan meninggalkan pilihan dengan menyerahkan semua hal kepadaNya, dan tidak ada perkara yang lebih berat pada jiwa dari redha dengan Qadak, sebab redha dengan qadak itu berbeza dengan redha dengan nafsu dan kehendaknya. Berbahagialah sang hamba yang dapat memilih redha kepada Allah daripada redha kepada tuntutan nafsunya.


Petikan dari kitab Haalat Ahlil Haqiqah Ma'Allah

Tuesday, February 9, 2010

Penolehan


Hai anakku! Ketahuilah, bahawa sesungguhnya seorang hamba itu berada di antara Tuhan dengan makhlukNya. Apabila dia mengalih pandangannya daripada Allah kepada makhluk, tersisihlah dia daripada Allah, dan kerana itu dia akan menjadi hamba yang terbiar, terhalang dan sia-sia.

Dan jika sang hamba itu memandang hanya Allah serta membelakangi makhluk, maka dia akan didekatkan oleh Allah dan dihampirkanNya, serta diberikan tempat disisiNya. Sebab Allah ta'ala, apabila mencintai seseorang hamba, Dia akan mengambil berat terhadapnya sekadar pendekatan hamba itu kepadaNya dan kecintaannya terhadapNya, dan Dia tdak menyenangi daripada hamba itu bila hamba itu memandang kepada selain Dia.

Memandang kepada matabenda
Tidakkah anda terfikir, bahawa Iblis yang dikutuki Allah itu memandang kepada dirinya, lalu berkata mengenai Adam: Aku lebih mulia daripadanya! Lantaran itu ia telah dilaknati Allah dan dihalauNya.
Demikian pula dengan Fir'aun, dia memandang kepada kerajaannya, lalu berkata: Bukankah aku ini raja yang memiliki negeri Mesir? Maka Allah telah menenggelamkannya.
Dan Qarun pula, memandang kepada harta kekayaannya, lalu berkata: Semua hata kekayaan ini aku sendiri yang meraihnya dengan kepandaianku sendiri! Lalu Allah memerintahkan bumi supaya menelannya dengan segalan harta kekayaannya.
Begitu pula dengan para Malaikat, yang memandang kepada tasbihnya dan pensuciannya terhadap Allah, ketika mereka mengatakan:
"Dan kami bertasbih terus memuji Engkau dan mensucikan Engkau" Al-Baqarah:30
maka Allah ta'ala membalakan mereka dengan bersujud terhadap Adam.
Demikian juga terhadap sesiapa saja yang mengatakan 'Aku', lalu akan dijawabnya oleh Allah ta'ala: Tidak, bahkan Akulah!
Kemudian dicampakkanNya orang itu ke tempat yang terendah dari segala tempat yang rendah. Manakala orang yang mengatakan 'Engkaulah Allah', akan diangkatNya pula orang itu ke tingkat yang tertingi dari segala tempat yang tinggi.


Petikan dari kitab Haalat Ahlil Haqiqah Ma'Allah

Saturday, February 6, 2010

Siapakah Mereka

Mereka ini adalah nama-nama dalam ahli sufi yang sangat terkenal dizaman mereka

1. Ibnu Abil Huwari r.t
Namanya Ahmad bin Abul Hawari, bergelar Abul Hasa, dari penduduk Damaskus. Pernah bersahabat dengan Abu Sulaiman Ad-Darani dan yang lain daripada Tok Guru, umpamanya Sufyan bin Uyainah dan lelain lagi. Dia punya seorang saudara bernama Muhammad bin Abul Huwari, sama setujuan dalam sifat zuhud dan wara', dan puteranya bernama Abdullah bin Ahmad, salah seorang zahid juga, dan ayahnya Abdul Hawari pula seorang dari para Arif Billah dan ahli wara', jadi keluarganya dari kumpulan orang-orang wara' dan zuhud. Abul Huwari wafa pada tahun 230H , moga-moga Allah merahmatinya.

2. Ka'bul Ahbar r.t
Namanya Ka'ab bin Matik, seorang tabi'in yang termasyhur dengan panggilan Ka'bul Ahbar r.a. Hidup pada zaman Nabi saw tetapi tidak bertemu dengan baginda. Dia memeluk Islam pada zaman Abu Bakar, yang lain menyaatakan pada zaman Umar r.a dan bersahabat dengan Umar dan banyak riwayatnya daripada Umar r.a. Dia juga meriwayatkan daripada lelain sahabat dan sekumpulan para tabi'in. Dia menetap di Hamsh. Abu Darda' r.a berkata, Ka'bul Ahbar mempunyai ilmu yang banyak, dan ramai yang mengatakan begitu pula, dan mempercayainya. Sebelum memeluk Islam Ka'bul Ahbar beragama Yahudi, dan menentap di Yaman. Dia meninggal dunia pada zaman pemerintahan Usman bin Affan r.a pada tahun 32H, dikuburkan di Hamsh dalam perjalanannya menuju peperangan. Moga-moga Allah merahmatinya.

3. Ubaid bin Umair
Dia adalah seorang Imam yang mulia dari golongan tabi'in, nama penuhnya Ubaid bin Umair Al-Makki, terkenal dengan teguh agamanya dan kelurusannya, Seorang ahli pidato negeri Mekah, sangat fasih dan lancar lidahnya, sering duduk dengan sahabat Nabi yang mulia, iaitu Abdullah bin Umar r.a dalam majlis taklimnya, selalu menangis kerana terpengaruh dengan bicara dan budi luhurnya. Wafat tahun 68H. Moga-moga Allah merahmatinya.

4. Ibnul Mubarak
Dia adalah Imam yang mulia, seorang Hafizh dan mujahid namanya Abdullah bin Al-Mubarak bin Wadhid Al-Hanzhali At_tamimi. Bergelar Abu Abdur Rahman, punya bayak karya
dan catitan pelayaran, menghabiskan umurnya di dalam pelayaran sebagai orang naik haji, mujahid, peniaga, pernah mengumpulkan ilmu hadis, fiqh, bahasa arab, sejarah lagi berani dan pemurah hati. Wafat pada tahun 181H di Buhait ketika baru kembali dari berperang dengan Rom. Moga-moga Allah merahmatinya.

5. Ubai in Ka'ab
Dia seorang sahabat yang mulia dari kaum Ansar suku Khazraj. Namanya Ubai bin Ka'ab bin Qais. Dia adalah seorang pendita kaum Yahudi sebelum memeluk Islam, sangat mengerti mengenai Kitab-kitab lama. Apabila memeluk Islam, dia terpilih menjadi salah seorang penulis wahyu. Turut menyaksikan perang Badar, Uhud, Khandaq dan lelain peperangan, semuanya bersama Rasulullah saw.
Pada masa hayatnya pernah memberi fatwa agama, ikut serta dengan amirul mukminin Umar bin Al-Khattab r.a dalam peperangan Al-Jabiyah dan telah ditugaskan untuk menulis perjanjian damai dengan penghuni Baitul-maqdis. Wafat di Madinah pada tahun 21H. Moga-moga Allah merahmatinya.

6. Zin-Nun r.a
Dia adalah Tsauban bin Ibrahim Al-Ikhmimi Al-Mashri, bergelar juga dengan Abul Faidh, salah seorang zahid yang terkenal. Dilahirkan di Mesir dari bangsa Nobi berasal hamba sahaya. Dia mempunyai lidah yang fasih, ahli kebjaksanaan dan berkata syair. Meninggal dunia di Jizah (Mesir) pada tahun 245H. Moga-moga Allah merahmatinya.

7. Abu Yazid Al-Bisthami
Dia itu Taifur bin Isa Al-Bisthami, bergelar Abu Yazid, seorang zahid yang terkenal, dilahirkan di Bisthamsebuah negeri di antara Khurasan dan Iraq pada tahun 188H dan wafat pada tahun 261H, rahmahullah ta'ala.

Friday, February 5, 2010

Soalan Dan Jawapan


Soalan:
Apakah erti sifat, zat, afaal dan asma' ?

Jawapan:
a. Sifat ertinya tabiatNya
b. Zat ertinya diriNya
c. Afaal ertinya perbuatanNya
d. Asma' ertinya namaNya

Soalan:
Yang manakah dinamakan asma' ?

Jawapan:
Yang dinamakan asma' itu ialah sesuatu yang menunjukkan sesuatu iaitu asma' namanya.

Soalan:
Siapakah yang memberikan nama Allah Taala itu ?

Jawapan:
Alah Taala sendiri yang memberikan namaNya, Allah, bukan makhluk yang memberi namaNya

Soalan:
Nama Allah Taala itu Qadim atau hadis ?

Jawapan:
Nama Allah Taala itu Qadim bkan hadis (baru).

Soalan:
Apakah perbezaan antara sifat dengan mausuf, antara wujud dengan maujud, antara ilah dengan ilahiyah, antara ilah dengan Allah ?

Jawapan:
a. Perbezaan antara sifat dengan mausuf ialah sifat itu kenyataan (yang menampakkan diri) mausuf.
b. Wujud menampakkan diri maujud.
c. Ilah menyatakan diri ilahiyat. Allah itu ialah ilah yang kaya daripada tiap-tiap sesuatu yang lain dan sesuatu yang lain memerlukanNya.
d. Allah pula adalah nama Tuhan yang wajibul wujud yang mempunyai dua puluh sifat yang wajib diketahui.

Soalan:
Adakah sifat itu berkongsi dengan zat ?

Jawapan:
Sifat itu tidak bercerai dengan zat dan tidak bersekutu dengan zat. Kita tidak dapat mengetahui kaifiatnya.

Soalan:
Apakah perbezaan antara zat dengan sifat ?

Jawapan:
Perbezaan antara zat dan sifat ialah zat itu diriNya dan sifat itu kelakuanNya.

Soalan:
Apakah perbezaan antara iman dan Islam ?

Jawapan:
Perbezaaan antara iman dengan Islam ialah iman itu batin dan Islam itu zahir yang tidak boleh bercerai antara kedua-duanya seperti nyawa dengan badan. Tubuh badan tidak akan hidup tanpa nyawa. Tidak sah Islam itu melainkan dengan iman. Tidak sah iman tanpa Islam kerana Islam itu adalah zahir iman. Oleh sebab itulah, tidakboleh dianggap Muslim bagi orang yang tidak Islam iaitu tidak melaksanakan perintah dan meninggalkan apa yang dilarang oleh syarak.

Soalan:
Dari mana asal amal, taat, kebaikan dan kejahatan ?

Jawapan:
a. Asal amal itu ilmu.
b. Asal taat itu, tidak menurut hawa nafsu.
c. Asal kebaikan itu, menyalahkan hawa nafsu.
d. Asal kejahatan itu, menurut hawa nafsu.

Soalan:
Yang mana satu syarat amalan yang mengesahkannya ?

Jawapan:
Syarat yang mengesahkan amalan ialah Ikhlas.

Soalan:
Ikhlas itu ada berapa macam?

Jawapan:
Ikhlas itu ada tiga macam iaitu:
a. Ikhlas orang mubtadi (permulaan), orang yang baru belajar.
b. Ikhlas orang mutawasid (pertengahan), orang yang sedang belajar.
c. Ikhlas orang muntaha (perhentian), orang yang arif.

Soalan:
Berikan perbezaan antara ketiga-tiga tersebut ?

Jawapan:
Ikhlas orang mubtadi ialah:
a. Suci daripada riya' dan suma'ah.
b. Kerana berharap agar mendapat pahala masuk syurga.
c. Kerana takut akan azab masuk neraka.

Ikhlas orang mutawasid ialah:
a. Maha suci daripada riya' dan suma'ah, hanya melakukanna semata-mata kerana Allah.
b. Hanya melaksanakannya apa yang diperintah oleh Allah dan meninggalkan apa yang dilarang.
c. Bukan kerana hendakkan pahala masuk syurga dan bukan kerana takut akan azab masuk neraka.

Ikhlas orang muntaha ialah:
a. Tidak melihat dirinya yang melakukan amalan, hanya yang dipandang ialah perbuatan dan kelakuan Allah Taala yang melakukan terhadap dirinya.

Soalan:
Apakah cara untuk melepaskan diri kita daripada syirik ?

Jawapan:
Untuk melepaskan diri kita daripada syirik, keluarlah anda daripada diri anda.



Petikan dari kitab Kasyaful Asrar

Tuesday, February 2, 2010

Petikan Dari Kitab Sairus Salikin

Bagi orang yang menjalani jalan akhirat itu disyaratkan beberapa syarat:

1. Bekal
Bekal yang perlu disediakan oleh orang yang hendak menempuh jalan ini ialah takut kepada Allah, sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

"Dan carilah olehmu bekal (yang akan dibawa keakhirat itu), maka sesungguhnya
bekal yang paling baik ialah takwa"
surah al-Baqarah, ayat 197

Adapun yang dimaksudkan dengan taqwa atau takut kepada Allah itu, ialah meninggalkan segala maksiat, baik yang zahir mahupun yang batin dan mengerjakan segala perintah Allah dengan penuh taat, baik zahir mahupun batin.


2. Senjata
Senjata
disini bermaksud memperbanyakkan zikir kepada Allah supaya segala seteru, iaitu hawa nafsu yang ammarah dan syaitan menjadi takut, sebagaimana yang diungkapkan oleh Abu Ali al-Daqqaq r.t katanya:

"Zikir itu adalah pedang bagi setiap murid (yang sedang menjalani jalan akhirat dan menyampaikan kepada Allah Taala). Dengannya (zikir) mereka boleh membunuh segala seteru mereka, dan dengannya juga mereka mampu menangkis segala sesuatu yang membinasakan yang dimaksudkan oleh mereka itu."

Selain itu, Syaikh Abd Wahab al-Sya'rani r.t mengatakan:

"Dan ketahuilah, bahawasanya sentiasa berzikir kepada Allah Taala itu mematahkan segala gangguan syaitan (yang melintas di dalam hati)."


3. Kenderaan
Adapun yang dimaksudkan dengan kenderaan disini ialah himmah (cita-cita, keinginan,
semangat) yang ditunjukkan melalui kesungguhan dalam menjalani jalan ini sepanjang usia, iaitu jangan lalai, jangan lupa, jangan segan dan jangan bosan supaya sampai kepada martabat dan makam yang tinggi, sebagaimana yang disebutkan oleh Allah Taala daam firmanNya yang bermaksud:

"Dan barangsiapa yang bersungguh-sungguh untuk (menjalani jalan) Kami, nescaya akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan (yang menyampaikan makrifat kepada) Kami."


4. Penunjuk Jalan
Penunjuk jalan disini bermaksud guru yang mursyid, yang mengetahui jalan itu, supaya dia di ikuti oleh
muridnya yang salik, dan murid tersebut menyerahkan dirinya kepada guru tersebut, tak ubahnya bagaikan mayat di hadapan orang yang memandikannya, supaya guru yang mursyid itu menyucikan murid tersebut daripada segala dosa dan najis yang bersarang didalam hatinya, yakni segala sifat tercela, supaya dia sampai kepada Allah Taala. Kerana bagi seseorang yang hendak menjalani jalan ini mestilah dengan bimbingan seorang guru, sebagaimana yang dinyatakan oleh Sayyid Ibrahim al-Dusuqi, katanya:

"Menuntut (mencari) Sheikh dalam menjalani jalan thariqat tasauf itu wajib atas setiap murid yang salik, walaupun dia seorang ulama yang besar"


5. Rakan
Adapun yang dimaksudkan dengan rakan disini ialah sekalian orang yang menjalani tarikat syaikh nya, supaya dia berhimpun dalam mengerjakan ibadah, mengerjakan ratib,zikir dan
supaya mereka bertolongan dalam melakukan kebajikan dan melakukan ibadah, sebagaimana firman Alla yang bermaksud:

" Dan bertolong-tolonganlah kamu dalam kebaikan dan taqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam melakukan dosa dan permusuhan" Al-maidah ayat 2