Sunday, February 28, 2010

Jenis-jenis Perjalanan Manusia


Imam al-Ghazali mengatakan, bahawa perjalanan itu ada dua, pertama perjalanan dengan anggota yang zahir, iaitu musafir dalam perjalanan darat, laut atau perjalanan dalam negeri. Manakala yang kedua ialah perjalanan dengan hati kepada mengenal sifat-sifat Allah dan perbuatanNya, iaitu perjalanan yang dilalui oleh semua ahli tarikat.

Perjalanan batin, yakni perjalanan hati adalah sebesar-besar dan sebenar-benar perjalanan kepada mengenal Allah Taala yang dituntut oleh ahli tasauf, sebagaimana yang diungkapkan oleh Imam al-Ghazali katanya,

"perjalanan yang lebih besar itu ialah perjalanan dalam menjalani ilmu syariat dan ilmu tarikat yang menghantarkan manusia kepada berbuat yang hakiki kepada Allah Taala. Akhirnya perjalanan itu akan menyampaikan manusia kepada Allah dengan makrifat yang sebenar-benarnya"

Kemudian daripada itu, ketahuilah olehmu wahai segala orang yang salik, yakni orang yang berjalan menuju Allah Taala, bahawasanya perjalanan batin itu ada tiga, iaitu:

1. Perjalanan daripada yang zahir kepada nafsu
Seperti perjalanan ilmu syariat dan mengamalkannya

2. Perjalanan nafsu kepada hati
Seperti menjalani ilmu tarikat dan mengamalkannya

3. Perjalanan dari hati kepada Allah
Seperti makrifat akan Allah dengan ilmu hakikat, iaitu yang mampu melenyapkan di dalam hatinya itu sekalian barang yang lain, selain daripada Allah, dengan mengekalkan jinaknya hati kepada Allah dan sentiasa ingat kepadaNya, serta mengekalkan zikrulah yang disertai oleh hadirnya hati dan cinta kepadaNya.


Petikan dari kitab Sairus Salikin

No comments: